Sunday, March 6, 2011

Fenomena 'couple'

Berulang kali saya perhatikan dunia yang kini semakin huru-hara. Pelbagai fitnah, tohmahan, penindasan dan kawalan yang berlaku keatas umat Muhammad S.A.W. Saya sedih dengan keadaan syabab Islam yang kini semakin leka dengan dunia. Saya amat sedih. Bila Islam hanya diletakkan dan dizahirkan sebagai agama namun batin dan di dalam tidak begitu. Islam pada nama sahaja namun tidak pada hati.

Mudah untuk saya simpulkan sedikit dengan masalah remaja kini. Bermula dengan gejala couple yang entah dari mana datangnya. Gejala ini dilihat mudah oleh remaja-remaja dan pemuda-pemuda kini. Sedang ada yang berilmu agama sendiri mengiyakan gejala couple ini dan menyebabkan remaja-remaja kebanyakkannya memikirkan gejala ini dibolehkan dalam Islam. Ingin saya tegaskan disini, tiada langsung istilah couple di dalam Islam. Perlu kita sedar, Islam menyediakan method untuk ummatnya berkeluarga. Couple bukanlah satu jalan yang baik untuk kita. Malah gejala ini merupakan satu kunci untuk merosakkan ummat Islam kini. Saya boleh buktikan mengapa couple itu haram. Ini buktinya :

Daripada Ibnu 'Abbas r.a berkata : Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan seorang perempuan yang bukan Mahramnya."
(H.R Bukhari dan Muslim)

Daripada Jabir b Samurah berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi yang ketiganya. (H.R Ahmad & Tirmidzi)

Maka dengan peringatan dan pesanan Rasulullah di atas maka terbuktilah bahawa couple itu hukumnya HARAM. Namun, mereka yang berada di dalam permainan syaitan masih lagi mencari jalan untuk menyelamatkan diri. Kata mereka : "Apa yang haramnya ? Kami tak pernah jumpa malah kalau kami berjumpa pun, kami selalu bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran dan agama. Malah kami selalu membaca Al-Quran bersama-sama. Kami juga selalu memberi tazkirah sesama kami supaya kami tidak lupa pada Allah."

Jika berkenaan situasi diatas, ada beberapa jawapan yang popular pernah saya tanya pada golongan-golongan ilmuwan dan ustaz-ustaz serta yang pernah saya terbaca. Namun saya mempunyai jawapan yang kukuh mengapa ia tetap haram walaupun masih melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca Al-Quran dan Belajar.

Jawapannya mudah. Allah S.W.T berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud :

"Dan jangnlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji. Dan jalan yang buruk."

Dengan turunnya ayat diatas kepada Rasulullah, hal ini terbukti bahawacouple itu haram kerana ia mendekatkan kita kepada zina. Zina adalah satu perkara yang amat keji sepertimana Allah telah berfirman diatas. Sedang Allah telah meletakkan hukum pergaulan untuk lelaki dan perempuan didalam Al-Quran :

a) Batas pergaulan untuk lelaki :
"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (An-Nuur : 30)

b) Batas pergaulan untuk perempuan :
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. "
(An-Nuur : 31)


Allah telah menentukan apakah yang patut dilakukan oleh lelaki dan perempuan bagi memelihara kemaluannya yakni maruah dirinya daripada diceburi dan dicabuli. Ingin juga saya tekankan disini, ada segelintir pelajar yang duduk dengan perempuan untuk belajar dan untuk belajar. Kata mereka, "Kami nak belajar pon takkan tak boleh?". Ini adalah ayat untuk menyelematkan diri mereka. Tetapi ingatlah saudaraku, kamu selamat di dunia, namuntidak dihadapan Allah. Saya yakin, pada mulanya memang niat kamu ingin menimba ilmu, lagipun hanya perempuan atau lelaki itu sahaja yang bijak dan mahir dalam topik pelajaran itu. Percaya atau tidak dihati kamu akhirnya nanti dihasut syaitan Laknatullah untuk melakukan atau membayangkan pasangan kamu itu melakukan perkara-perkara yang bukan-bukan? Na'uzubillah Min zalik. Ingatlah saudaraku, syaitan itu sentiasa mencari jalan untuk merosakkan umat Islam. Dan antara sebab yang lain, apabila kamu belajar dengan seorang perempuan yang bukan muhrim, maka fitnah akan berlaku. Fitnah yang besar akan berlaku keatas dirimu sedang kamu niat hanya untuk belajar. Itulah hikmahnya Allah melarang kita untuk berdua-duaan lelaki dan perempuan bukan mahram.

Di dalam situasi study group pula. Ya, ada guru yang meletakkan study group dengan perempuan akan mendatangkan hasil yang baik kepada seorang lelaki. Lelaki akan terasa tercabar dengan perempuan. Tetapi sedarkah kamu wahai golongan pendidik bahawa kamu telah meletakkan anak muridmu sebagai 'kambing hitam' untuk mereka melakukan maksiat. Apakah kamu sudah lupa tugasmu sebagai pendidik ? Sepatutnya kamu sendiri yang perlu mendidik anak muridmu, bukan anak muridmu belajar dengan seorang pelajar yang lain yang bukan Mahramnya. Atau dengan lebih mudah, pada pandangan saya, perlukah lelaki dan perempuan study bersama (studygroup)? Tidakkah Allah telah menjadikan setiap manusia yang sama jantinanya dengan kepandaian dan kebijaksanaan masing-masing yang berlainan? Tidakkah ini akan mendekatkan mereka kepada zina ? fikirlah kamu wahai pendidik. Sesungguhnya Allah telah melantikmu sebagai pendorong mereka untuk berjaya. Ingatlah amanahmu. Dan pelajar pula, jika kamu hendak mencari Ilmu, maka kamu perlu mencarinya, bukan menunggu Ilmu datang bergolek kepadamu. Atau dengan lebih mudah, carilah gurumu untuk belajar, bukan guru mencarimu untuk mengajarmu.

Pesanan terakhir saya untuk tajuk kita pada hari ini, jangan jadikan sesuatu yang baik itu sebagai batu loncatan bagi dirimu untuk melakukan maksiat dan untuk kamu mendekati zina. Ilmu itu penting bagi kita sebagai seorang Muslim. Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah"
Jika kamu menjadikan ilmu itu sebagai 'kambing hitam' untuk kamu melakukan maksiat, maka ingatlah azab Tuhanmu yang amat-amat pedih. Jadilah kamu golongan yang menegakkan agama Allah (Islam). Yakinlah dengan janji Allah iaitu :

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad : 7)
Dengan itu saya akhiri artikel saya pada kali ini dengan Astaghfirullahal 'azim. Yang baik segala-galanya daripada Allah dan yang buruk hadirnya dari kelemahan diri saya sendiri. Assalamualaikum.


Terima kasih kerana sudi membaca =)

0 kata-kata: