Memberi atau mengucapkan salam, iaitu assalamualaikum kepada seseorang Islam yang lain adalah perkara yang disunatkan oleh hukum syarak. Bahkan memberi salam itu diletak dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain.
Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim,
ucapan salam diajar secara sempurna oleh para malaikat kepada Nabi Adam a.s dengan lafaz “Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh”. Allah memberitahu Nabi Adam a.s: “Ini ialah salam kamu dan keseluruhan zuriatmu hingga ke hari kiamat”.
Nabi Muhammad SAW bersabda,
maksudnya: “ Sesungguhnya antara perkara yang menyebabkan mendapat keampunan daripada Allah ialah memberi salam dan baik percakapan”.
Hadis riwayat at-Thabarani.
Hukum mengucapkan salam kepada seseorang Islam yang lain ialah sunat. Menjawab salam pula hukumnya wajib. Mengucapkan salam dianggap sebagai hak seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain. Mereka yang tidak mengucapkan salam dianggap sebagai orang bakhil dan cuai dalam menunaikan hak sesame Muslim. Mengucapkan salam dituntut ketika hendak masuk ke rumah orang lain. Mengucapkan salam juga dilakukan ketika hendak masuk ke rumah sendiri.
Allah berfirman di dalam surah an-Nur ayat 61,
bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah hendaklah kamu memberi salam kepada sesiapa saja seperti kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik”.
Menerusi ayat tersebut, tuntutan memberi salam itu merangkumi dua keadaan:
i) Memberi salam ke atas ahli keluarga yang ada di dalam rumah pada ketika itu
ii) Memberi salam ke atas dirinya sendiri walaupun jika tiada orang di dalam rumah tersebut.
Lafaz salam boleh diucapkan dengan memberi ucapan “ Assalamualaikum”.
Ucapan salam yang lain ialah lafaz “Assalamu’alaina wa’ala ‘ibadillahissalihin”
yang bermaksud, “Sejahteralah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh”.
Sabda Rasulullah SAW,
maksudnya: “As-Salam” itu ialah nama Allah yang diletakkan –Nya di bumi, sebarkanlah nama Allah itu antara kamu”. Hadis riwayat al-Bazzar dan at-Thabarani.
Semasa mengucapkan salam kita menyebut nama Allah. Amalan memberi salam sebelum masuk kedalam rumah disifatkan sebagai mengingati allah. Ucapan salam akan menghindari diri daripada syaitan.
Jabir r.a mendengar Nabi SAW bersabda
maksudnya: “Apabila seorang lelaki masuk ke dalam rumahnya lalu dia mengingati Allah ketika hendak masuk dan ketika hendak makan, syaitan berkata (kepada pengikutnya): “Tidak ada tempat bermalam dan tiada makan malam bagi kamu”. Namun jika dia masuk rumah tanpa mengingati Allah, syaitan berkata: “Sudah ada tempat bermalam untuk kamu”. Dan jika seseorang itu makan tanpa mengingati Allah, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Antara kelebihan salam yang paling utama ialah menimbulkan rasa saying dan kemesraan. Perasaan tersebut menjadi asas pengerat hubungan sesame manusia. Kasih sayang menjadi penyebab turunya rahmat Allah. Berkat ucapan salam, ahli keluarga akan diliputi rahmat daripada Allah dan terhinda daripada gangguan syaitan. Keberkatan penghuni dipaparkan dengan hidup yang tenang, tenteram dan rukun damai.
Kesimpulannya memberi salam bukan saja semasa ada ahli keluarga di dalam rumah malah dibolehkan jika tiada penghuni di dalam rumah. Semoga amalan sunah yang kecil ini, bakal dibalas dengan ganjaran yang besar disisi Allah SWT.
0 kata-kata:
Post a Comment