Tuesday, November 1, 2011

11 orang yang mendapat doa para malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. 


Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. 


Kali ini saya ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.


Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:


1.Orang yang tidur dalam keadaan bersuci
Rasulullah S.A.W bersabda,maksudnya :“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. 

Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya : “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. 

Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya :“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:

Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya :“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda 
maksudnya :“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. 

Rasulullah s.a.w bersabda,“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. 

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’ 

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’” 

9. Orang yang membelanjakan harta (infak). 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”

10. Orang yang sedang makan sahur. 

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang melawat orang sakit. 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah.


Terima kasih kerana sudi membaca =)

Thursday, October 6, 2011

Doa dan amalan supaya murah rezeki


1. MEMBACA SURAH AL-WAQIAH

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kefakiran.
(Riwayat dari Ibn Mas'ud : Al-Azkar, Al-Jami Al-Soghhir)

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Surah Al-Waqiah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu "
(Riwayat Ibn Mardawaih daripada Anas : Kasyf Al-Khafa')



2. MEMBACA SURAH AL-IHKLAS

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesiapa yang membaca Qulhuwallahu ahad ketika masuk ke rumahnya, nescaya dihindarkan kefakiran daripada ahli rumahnya dan jirannya".
(Daripada Jarir Bin Abdullah : Kanzu Al-Ummal, Mu'jam Al-Tabarani. Daripada Ibn Mas'ud : Mujma' Al-Zawaid)


3.DOA MURAH REZEKI

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ، وَتُعِزُّ مَن تَشَاء ، وَتُذِلُّ مَن تَشَاء ، بِيَدِكَ الْخَيْرُ ، إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّشَيْءٍ قَدِيرٌ ، تُولِجُ اللَّيْـلَ فِي الْنَّهَارِ ، وَتُولِجُ النَّـهَارَ فِي اللَّيْلِ ،وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ ، وَتُخْرِجُ الْمَيِّـتَ مِنَ الْحَيِّ ، وَتَرْزُقُ مَنتَشَاء بِغَيْرِ حِسَـابٍ ، رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَرَحِيْمَهُمَا ، تُعْطِي مَنْتَشَاءُ مِنْهُمَا وَتَمْنَعُ مَنْ تَشَاءُ ، اِرْحَمْنِي رَحْمَةً تُغْنِيْنِي بِهَا عَنْرَحْمَةِ مَنْ سِوَاكَ

"Katakanlah ( wahai Muhammad) : "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Engkau jugalah yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki, Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".

Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang di dunia dan akhirat. Engkau memberi kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau mahu. Engkau menahan kedia-duanya terhadap sesiapa yang Engkau mahu. Rahmatilah aku dengan suatu rahmat yang mencukupi untukku berbanding rahmat yang ada pada selainMu."


4.  DOA MURAH REZEKI

 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ

."Dan sesiapa yang bertaqqa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nesvaya Allah akan menggandakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya".

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Wahai sekalian umat manusia, jadikanlah taqwa sebagau suatu perniagaan, nescaya rezeki akan datang kepada kamu tanpa modal dan niaga". Kemudian baginda membaca ayat di atas.

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Sunday, October 2, 2011

Tujuh kalimat keramat


SabdaRasulullah s.a.w yang bermaksud :

" Barang siapa hafal 7 kalimat, dia dipandang mulia di sisi Allah s.w.t dan malaikat, dan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih laut".


  • Mengucap BISMILLAH setiap kali hendak melakukan sesuatu.

  • Mengucap ALHAMDULILLAH setiap kali selesai melakukan sesuatu

  • Mengucap ASTAGHFIRULLAH jika lidah tersilap pada perkataan yang tidak patut.

  • Mngucap INSYA'ALLAH jika merencakan sesuatu untuk di hari esok.

  • Mengucap LA HAULA WALA KUWWATA ILLA BILLAH jika menghadapi sesuatu yang tidak disukai dan tidak diingini.

  • Mengucap INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN jika menghadapi dan menerima musibah

  • Mengucap LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH sepanjang siang malam sehingga tidak terpisah dari lidahnya.

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Thursday, September 22, 2011

pentingnya teguran dan nasihat orang lain

Terdapat dua jenis manusia di dunia ini. Orang yang pandai dan bodoh. 


Masalah orang pandai ialah mereka sukar menerima teguran. Yang pandai tidak boleh ditegur kerana meraka berasa sudah terlalu pandai dan merasa terhina jika ditegur. 

Masalah orang yang bodoh pula tidak boleh diajar. Yang bodoh pula akan merasa diri mereka terlalu bodoh sekiranya dinasihati atau diajar.

Kedua-dua orang ini adalah orang yang malang. Jika ingin menjadi orang yang pandai dan berjaya, sedialah menerima teguran dan nasihat. Tidak semua perkara didunia ini yang anda ketahui. 

Mungkin anda bijak dalam bidang anda, tetapi anda masih juga tidak tahu banyak perkara dalam bidang lain. 

Jika anda masih mahu terus hidup dalam pemikiran ada yang tertutup, jadilah anda orang yang bodoh sombong selamanya.



Terima kasih kerana sudi membaca =)

Friday, September 16, 2011

Al-Quran pengubat jiwa resah


BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.


Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Banyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau. 


Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketenangan.

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:




■ Membaca dan mendengarkan al-Quran

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.


■ Menyayangi orang miskin

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: “Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.


 Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.


■ Menjaga silaturahim

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjangkan umur dan mendatangkan rezeki.

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.


■ Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billah

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.


■ Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.


■ Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.

Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.


■ Tidak meminta kepada orang lain

‘Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah’ adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.

Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.


■ Menjauhi hutang

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”


■ Selalu berfikir positif

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif.

Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang.

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?



Terima kasih kerana sudi membaca =)

Friday, September 9, 2011

Subjek matematik dalam Al-Quran

Dr Tariq Al Swaidan menemukan beberapa ayat dalam Al-Quran yang menyebutkan satu hal yang sama dengan yang lain, iaitu jumlah kata-kata untuk lelaki dan perempuan equal. 


Walaupun ini masuk akal secara matematik, fakta mengejutkan adalah bahawa jumlah kali kata orang muncul dalam Quran adalah 24 dan berapa kali muncul kata wanita juga 24, oleh kerana itu tidak hanya ini ungkapan yang benar dalam pengertian gramatikal tetapi juga benar secara matematik: 24 = 24.

Setelah analisis lebih lanjut berbagai ayat, ia menemukan bahawa ini adalah konsisten sepanjang turun Quran, di mana ia mengatakan satu hal seperti yang lain. Lihat di bawah untuk mendapatkan hasil menakjubkan: –

Jumlah perkataan di dalam Al-Quran:
Dunia 115 . Akhirat 115
Malaikat 88 . Syaitan 88
Hidup 145 . Mati 145
Manfaat 50 . Korup 50
Manusia 50 .Rasul 50
Iblis 11 . Carilah perlindungan dari Iblis 11
Musibah 75 . Terima kasih 75
Sedekah 73 . Kepuasan 73
Orang yang disesatkan 17 . Orang Mati 17
Muslimin 41 . Jihad 41
Emas 8 . Kehidupan senang 8
Magik 60 . Fitnah 60
Zakat 32 .Barakah 32
Fikiran 49 . Cahaya 49
Tongue 25 . Sermon 25
Berani 8 . Takut 8
Public speaking 18 . Publicising 18
Hidup susah 114 . Bersabar 114
Lelaki 24 . Perempuan 24


Dan cukup luar biasa kita lihat berapa kali kata-kata berikut muncul: – Solat 5; 12 Bulan; Hari 365;
Laut 32, Tanah 13; Laut + tanah = 32 13 = 45% Laut = 32/45 * 100 = 71,11111111%
Tanah = 13/45 * 100 = 28,88888889 = 100.00

Ilmu pengetahuan moden baru-baru ini membuktikan bahawa air meliputi 71,111% dari bumi, sedangkan tanah meliputi 28,889%. Adakah ini suatu kebetulan?

Siapa yang mengajar Nabi Muhammad (saw) semua ini?
Allah, Yang Maha Kuasa Semua mengajarnya ini. Sebagaimana Quran mengatakan kepada kita
Wallahualam,


Terima kasih kerana sudi membaca =)

Saturday, September 3, 2011

Tips redakan kemarahan Cara Islam


Cara yang terbaik untuk meredakan kemarahan adalah dengan mengambil wudhu' setiap kali perasaan itu datang. Di samping membaca ayatul Qursi, zikrullah, istighfar serta sentiasa mengingatkan diri bahawa kemarahan itu adalah dari api dan api itu adalah asal kejadian syaitan. 

Kita harus menutup pintu kemarahan kerana apabila kita marah syaitan akan berpesta dan itulah cara mudah untuk dia mempengaruhi kita. Bermakna orang yang sedang marah adalah dikuasai oleh syaitan. 

Bagi memadamkannya ia perlukan air. Air wudhu'lah yang harus kita gunakan bagi membanteras sikap mazmumah di dalam diri kita oleh sikap marah melampau.

Salah satu cara lagi ialah dengan membisikkan kepada diri sendiri dan katakan mengapa aku mesti marah ? Apa untungnya aku marah ?

Orang yang marah sebenamya mempamerkan kebodohannya. jadi mulai hari ini, tanamkan sikap untuk tahan rasa marah dan cuba senyum dengan senyuman paling manis biarpun hati sedang mendidih dengan kemarahan.

Cubalah berjenaka dan anggap masalah itu cuma hiburan. Jangan begitu serius semasa bekerja(terlampau memikirkan kerja sehingga sukar memahami orang lain) kerana ini akan menyebabkan anda sering tertekan.. Dengan itu sikap yang sebegitu keras akan menekankan perasaan orang. Sekaligus menjauhkan orang lain dari kita dan itu akan mengundang tekanan dalam diri. 

Kurangkan aktiviti yang menekan minda, carilah perbualan yang positif dan jangan cuba berbual perkara yang negatif seperti mengumpat orang, menyebarkan fitnah dan lain-lain. Ini kerana berita-berita kosong akan menyakitkan minda dan jiwa seterusnya akan meletuskan rasa amarah yang teramat.

Kalau rasa tertekan dengan kerja, cubalah bertenang , rehatkan minda seketika dan cuba buat sesuatu contohnya melukis, menulis dan lain-laintapi jangan pula ambil kesempatan sehingga mengabaikan tugas kita yang sebenarnya.
Terima kasih kerana sudi membaca =)

Sunday, July 17, 2011

Wahai muda mudi sekalian

Wahai remaja ,
bukan ini masanya untuk kita mencari teman hidup yang difikirkan sesuai. Asyik diifikirkan, difikirkan dan difikirkan lagi. Waktu ini syaitan dan iblis menyolek muka dan mata kita supaya tertarik kepada anugerah kecantikan dan kecomelan makhluk ciptaan Tuhan. Masa ini nafsu menyuruh kita supaya melakukan sesuatu perkara yang membolehkan kita mendapat perhatian dan pujian.Terampil mengoda bergaya!


Sedang Yusuf yang digoda oleh Zulaikha yang menggoda pun tidak langsung tertarik hatinya untuk melakukan zina. Inikan kita yang bertaraf hamba yang hina. Rata-rata melakukan ibadah untuk mengharapkan pujian dan perhatian, mahu dianggap baik, sopan dan soleh, bukan mengharapkan pahala dan perhatian Tuhan. Rata-rata melakukan kebaikan supaya dipandang bagus bukannya mencari redha Allah.


kita mesti menyedari bahawasanya kita sebenarnya sedang menempuh lautan yang berombak dan bergelora saat ini. Sudah tiba masanya untuk menaikkan layar supaya kita tidak tenggelam hanyut dibawa oleh fitnah dunia. Sudah tiba masanya untuk berlayar lebih jauh dengan kapal TAKWA dan layar IMAN untuk mencari pelabuhan REDHA (Mardhatillah). Sudah tiba masanya merebut dan menjala ikan-ikan PAHALA bukannya merelakan diri ditelan dengan jerung DOSA dan badai NERAKA. Sedarkah kita ?


Adakah 'buaya-friend' dan 'gila-friend' wajib menjadi sesuatu yang dominan dalam kehidupan setiap yang bergelar remaja ? Bagaimana dengan status remaja islam ? Sememangnya wajib memilikinya seorang sat atau maksimun 4 atau bersilih ganti ? atau status mencari pengalaman di alam remaja ? Jawapannya sudah tentu sekali TIDAK !


Mengapa ? Salahkah bercinta ? Cuma setakat hendak berkenalan dengan lebih intim ? Bukannya sampai berpegangan tangan ataupun bercium-ciuman pun ? Kita dah besarlah, bukan budak-budak , semuanya BOLEH !


Bukan begitu wahai remaja,
Islam tidak menghalang benih-benih cinta ditanam di setiap hati insan bergelar muslim. Namun sekarang kita adalah MASIH REMAJA. Amanah yang diberikan bukannya disuruh menghampiri zina. Tetapi berusaha, belajar, berdakwah dan beribadah sehingga berjaya. Fokus matlamat kehidupan sebenar di alam akhirat nanti. Kenapa mengizinkan diri terus hanyut dalam noda dunia yang penuh sengketa dan pura-pura ?


Masanya sudah tiba, ayuh kita bangkit wahai remaja-remaja islam, kita berjuang sehingga Masjidil Aqsa dibebaskan. Kita berjuang sehingga fitnah Dajjal dapat kita tewaskan. Kita memerdekakan jiwa kita yang dibelenggu musuh nyata. Kita melawan hawa nafsu dengan penuh kesabaran, hingga dapat menjadi penghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan. Janji Allah itu pasti !


Bukannya kita perlu mencari publisiti murahan. Dengan mengacau dan mengorat makhluk comel dan kacak ciptaan Tuhan. Menjaja perasaan indah gelora Uda dan Dara. Bukannya dengan meninggalkan sunnah yang nabi wariskan. Bukan dengan membiarkan alasan murahan terus menghasut ; diri masih belum dapat hidayah, diri tidak bersedia ataupun sebenarnya diri MALAS melakukannya. Bukan dengan mengambil remeh dan memandang enteng kepada ibadat dan amalan yang dilakukan. Bukan dengan meninggalkan Al-Quran, Kitab suci yang dipelihara kesucian zaman-berzaman.Acuh tidak acuh mentaati Tuhan ? Macamlah yakin dan pasti sangat dapat ke syurga seperti Saidina Uthman bin Affan ! 


Wahai remaja,
kita seringkali mengeluh dan marah apabila kita diaibkan di khalayak ramai. Tidakkah kita terfikir, kita sedang dan akan malu mengaibkan diri sendiri di depan Allah dan di tepi malaikat. Ayuh celiklah, sedarlah dan bangunlah memperjuangkan Islam. Teruskan perjuangan sehingga nyawa bercerai dengan badan. 



Terima kasih kerana sudi membaca =)

Friday, July 15, 2011

Cara membersihkan hati

1) Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih" 


2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur, Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan. 


3) Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4) Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.


5) Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan. 


6) Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka) 


7) Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!


8) Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan. 


9) Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa) 


10) Kekalkan wuduk


11) Bersedekah 


12) Belanja orang makan.


13) Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat


14) Berkawan dengan para ulama 


15) Berkawan dengan orang miskin (menginsafi) 


16) Pesan pada orang, agar menjadi lebih baik 


17) Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut...dsb), jangan dengar orang mengumpat. "



Terima kasih kerana sudi membaca =)

Monday, June 6, 2011

gambaran hari kiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

sumber daripada : Amar Sufi

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Tuesday, May 31, 2011

Rukhsah Dalam Solat

Islam itu agama yang mudah.. tidak ada alasan bagi kita untuk meninggalkan solat walaupun ketika dalam perjalanan jauh.. iaitu bermusafir.. leceh nak berhenti setiap kali masuk waktu katanya.. bukankah Allah SWT telah memberi kelonggaran kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir.  Kelonggaran ini dinamakan RUKHSAH SOLAT. 


Mungkin ada di antara anda yang tidak menunaikan solat ketika dalam keadaan bermusafir. Mungkin ada yang buat tapi dia lakukan solat untuk setiap fardhu. Mungkin ada yang tak tahu macam mana nak buat solat Jamak dan Qasar? Atau sememangnya anda malas?? Jangan begitu. Solat itu wajib didirikan walau dalam apa keadaan sekalipun kita berada.

Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan fardhu Solat dalam apa keadaan sekalipun, di samping membuktikan bahawa agama Islam yamg mengambil kira  kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Allah telah mensyariatkan Solat Qasar dan Solat Jamak sebagai rukhsah bagi mereka yang bermusafir.

SYARAT-SYARAT PERJALANAN (MUSAFIR) YANG DIBENARKAN UTK SOLAT QASAR/JAMAK
1. Musafir adalah untuk tujuan yang baik, bukan utk melakukan maksiat.
2. Destinasi yang dituju melalui 2 marhalah (lebih kurang 91 KM).
3. Mengetahui destinasi yang dituju ( tahu jalannya, tidak tersesat).
 
HIKMAH DISYARIATKAN SOLAT QASAR/JAMAK
1. Meringankan atau memudahkan umat Islam utk menunaikan solat dalam perjalanan.
2. Tanda kasih sayang Allah kepada manusia.
3. Supaya solat fardhu dapat dilaksanakan dalam apa keadaan sekalipun.
4. Menggalakkan umat Islam bermusafir/melancong/ziarah-menziarahi  bagi menambahkan keimanan dan mengeratkan tali persaudaraan.

PENGERTIAN SOLAT QASAR
Bahasa : Pendek dan ringkas.
Istilah  : Memendekkan solat jenis 4 rakaat kepada 2 rakaat.
Solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak.
 
SYARAT-SYARAT  SOLAT QASAR
1. Hendaklah melepasi sempadan kawasan tempat tinggal.
2. Tidak berniat bermukim melebihi  4 hari, tidak termasuk perjalanan pergi dan balik.
3. Tidak berimamkan imam yang solat tamam (sempurna) rakaatnya.
4. Masih dlm keadaan musafir ketika mengerjakan solat Qasar.

PEMBAHAGIAN SOLAT JAMAK
Jamak Taqdim ialah menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu pertama iaitu zuhur dan maghrib. Contohnya, menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Zohor.

Jamak Takhir ialah menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu kedua iaitu asar dan isyak. Contohnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Asar.

SYARAT JAMAK TAQDIM
1. Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
2. Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
3. Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
4. Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal
5. Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.

SYARAT JAMAK TAKHIR
1. Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
2. Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.

Cara melakukan solat JAMAK TAKHIR

Solat  Zohor dan Asar


أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ جَمْعٍ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  4  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor 
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  4  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
Solat  Maghrib dan Isya’

أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  4  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala 
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى
 Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya 
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.


Cara melakukan Solat JAMAK & QASAR

Solat  Zohor dan Asar  (Taqdim)
أُصَلِّي فَرْضَ الظّهْرِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  2  rakaat Qasar dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى الظُّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar 2 rakaat Qasar dihimpunkan kepada Zohor  Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

Solat  Maghrib dan Isya’ (Taqdim)
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  2  rakaat Qasar dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala. 
Solat  Zohor dan Asar (Takhir) 
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  2  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  2  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala. 
Solat  Maghrib dan Isya’ (Takhir)
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  2  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.



Terima kasih kerana sudi membaca =)