Thursday, March 31, 2011

Cara menjadi anak yang soleh

Hari ini, saya ingin berkongsikan sedikit tips untuk menjadi anak yang soleh. Saya hanya dapat bantu sedikit je sekadar peringatan buat diri saya dan sahabat yang lain. Semoga kita semua tergolong dalam golongan anak-anak yang soleh . amin~ :)



1. Sentiasa bermanis muka apabila bercakap atau memandang wajah ibu bapa.

2. Selalu 'meringankan tulang' untuk membantu ibu bapa dalam kerja-kerja yang mudah di rumah.
3. Membuat sesuatu kerja yang sepatutnya kita kerjakan tanpa perlu disuruh atau diarah oleh ibu bapa kita.
4. Jangan merungut atau membantah segala arahan atau suruhan ibu bapa kita.
5. Sentiasa mendoakan keampunan dan kesejahteraan untuk kedua ibu bapa kita terutama sekali selepas   solat fardhu.
6. Amalkan budaya salam dan mencium tangan kedua-dua ibu bapa sewaktu hendak keluar atau masuk ke dalam rumah.
7. Memohon kemaafan daripada ibu bapa setelah kita metakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan.
8. Tunduk dan bersopan sebagai tanda hormat apabila berjalan di hadapan ibu bapa.
9. Bercakap dengan lemah lembut, tidak berkasar serta tidak meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa.
10. Jangan selalu meminta-minta daripada ibu bapa terutama sekali sesuatu perkara atau benda yang tidak perlu ataupun yang tidak munasabah.
11. Sentiasa redha, bersyukur dan menerima dengan hati yang terbuka terhadap setiap pemberian daripada ibu bapa.
12. Belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh seterusnya berjaya dalam pelajaran sebagai suatu hadiah istimewa daripada kita untuk ibu bapa tersayang.
13. Sentiasa bersikap jujur dan tidak bercakap bohong dengan ibu bapa kita dalam setiap perkara walaupun kita yang bersalah.
14. Sentiasa membiasakan lidah kita untuk mengucapkan 'terima kasih' di atas segala pemberian dan nasihat daripada ibu bapa kita.
15. Sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa kita sama ada dengan perkataan, perbuatan mahupun sikap kita.
16. Sentiasa patuh kepada perintah Allah S.W.T dengan tidak me-ninggalkan solat kerana anak yang soleh juga merupakan anak yang taat pada perintah Allah S.W.T.




Terima kasih kerana sudi membaca =)

Wednesday, March 30, 2011

Makna Bacaan dalam solat

Takbiratul-Ihram / Takbir
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya. 

Bacaan ketika bangun dari rukuk 
Allah mendengar pujian orang yang memujinya. 

Bacaan ketika iktidal 
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian. 

Bacaan ketika sujud 
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut 
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Friday, March 25, 2011

Ujian lumrah kehidupan



Kecut perut? Hilang selera makan? Tidur tidak lena? Hilang fokus?

Ini merupakan simptom-simptom serangan examinitis yang selalunya menyerang kawasan kota dan bandar-bandar besar di seluruh dunia. Penyakit ini tidaklah begitu kronik jika mahu diukur dengan skala kemanusian seperti mana yang dihadapi oleh sebahagian manusia di Palestin, Darfur, Iraq, Filipina, Selatan Thailand dan banyak lagi.



Fenomena sindrom musim peperiksaan kembali lagi.Dahulu solat lima waktu tak terjaga.Tapi sekarang solat sunat tak berhenti-henti…Dahulu Al-Quran tersimpan rapi dalam rak hingga berhabuk.Tapi sekarang Al-Quran dibawa kemana-mana sahaja…Dahulu nak hulurkan 25 sen untuk sedekah pun berat tangan.Tapi sekarang lima genih rasa seperti tiada nilai…
Bukan nak membawa gelombang pessimisme dalam artikel ini.Tapi untuk membuka minda kita semua agar kesalahan yang sama tak diulang berkali-kali tanpa kita sedari.
Alhamdulillah, majoriti kita sedar akan peranan usaha dan tawakkal dalam setiap amal perbuatan kita.Contoh yang termudah, bila tiba musim peperiksaan.Semua akan cuba buat yang terbaik.Tidak kira dalam soal akademik, soal hidup sosial dengan sahabat-sahabat serta tidak lupa soal hubungan dengan Allah.Semuanya dijaga dengan baik, agar natijah yang baik juga diperoleh untuk peperiksaan yang kita hadapi.
Namun sayangnya, langkah mula yang baik itu tidak kekal lama.Hanya bermusim sebagaimana berlalunya musim panas dan sejuk yang silih berganti.Pabila gelombang peperiksaan tiba, semuanya menjadi baik.Namun pabila peperiksaan pergi, semuanya jadi terbalik.

Aplikasi Dan Natijah

Kadang-kadang kita terlupa tujuan sebenar sesuatu ujian terhadap kita.Tidak kira ujian yang besifat akademik, mahupun dalam bentuk-bentuk yang lain seperti ketakutan, keresahan, kelaparan dan sebagainya.Acapkali kita terlupa bahawa hakikat sebenar yang kita hadapi ialah sepanjang kehidupan kita di dunia ini adalah juga suatu ujian.
Hari ini, kita berhadapan dengan satu ujian yang kita sudah sedia maklum tentang persediaannya serta sistem dan keputusannya yang bakal dilaksanakan.Maka kita dengan penuh semangat dan keyakinan bersedia sedaya upaya untuk mencapai yang terbaik dalam ujian tersebut.Sanggup bersengkang mata meneruskan ulangkaji, mengorbankan sedikit keperluan diri untuk kejayaan akan datang.
Namun realiti dan aplikasinya kita sering terlupa.24 jam sehari kehidupan kita adalah suatu ujian juga.Dan kita langsung tidak mengambil endah apa yang berlaku.
Kesejukan yang kita hadapi adalah suatu ujian…
Penat lelah pengorbanan kita adalah suatu ujian…

Kesedihan dan kepiluan yang kita rasai adalah suatu ujian…
Rindu pada keluarga di tanah air adalah suatu ujian…
Wang ringgit dari penaja adalah suatu ujian…
Hatta kesenangan, kemewahan, kegembiraan, dan segala jenis nikmat yang kita rasai itu juga adalah suatu ujian dari Allah kepada kita…
Persoalannya, apakah kita bersedia menghadapi ujian-ujian tersebut sebagaimana kita bersedia menghadapi peperiksaan akademik kita hari ini?Tepuk dada, Tanya iman masing-masing….

Hikmah Sebuah Ujian

Sebahagian kita kadang-kadang mempersoalkan kejadian sesuatu ujian.Tidak dapat menerima dengan baik ujian yang diberikan.Mungkin tidak faham hikmah disebalik kejadian.Kelak untuk meningkatkan darjat dan martabat iman kepadaNya.Begitu juga sebagai kafarah dosa-dosa kecil kesalahan yang lalu, sebagai peringatan agar lebih berwaspada.
Dalam Al-Quran, banyak menceritakan soal ujian serta kisah-kisah golongan terdahulu yag berkaitan.Moga-moga kita dapat ambil iktibar daripadanya, insyaAllah…
Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. [Al-Baqarah ; Ayat 155]
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat [Surah Al-Baqarah ; Ayat 214]
Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan [Surah Ali-‘Imran ; Ayat 186]
Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Qur’an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu [Surah Al-Maidah ; Ayat 48]
Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar [Surah Al-A’raaf ; Ayat 28]
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan [Surah Al-Anbiya’ ; Ayat 35]
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta [Surah Al-Ankabut ; Ayat 2-3]
Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu [Surah Muhammad ; Ayat 31]

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Thursday, March 17, 2011

Ada Apa Dengan Ucapan Salam?

Memberi atau mengucapkan salam, iaitu assalamualaikum kepada seseorang Islam yang lain adalah perkara yang disunatkan oleh hukum syarak. Bahkan memberi salam itu diletak dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain.

Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, 
ucapan salam diajar secara sempurna oleh para malaikat kepada Nabi Adam a.s dengan lafaz “Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh”.  Allah memberitahu Nabi Adam a.s: “Ini ialah salam kamu dan keseluruhan zuriatmu hingga ke hari kiamat”. 

Nabi Muhammad SAW bersabda, 
maksudnya: “ Sesungguhnya antara perkara yang menyebabkan mendapat keampunan daripada Allah ialah memberi salam dan baik percakapan”. 
Hadis riwayat at-Thabarani. 

Hukum mengucapkan salam kepada seseorang Islam yang lain ialah sunat. Menjawab salam pula hukumnya wajib. Mengucapkan salam dianggap sebagai hak seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain. Mereka yang tidak mengucapkan salam dianggap sebagai orang bakhil dan cuai dalam menunaikan hak sesame Muslim. Mengucapkan salam dituntut ketika hendak masuk ke rumah orang lain. Mengucapkan salam juga dilakukan ketika hendak masuk ke rumah sendiri. 

Allah berfirman di dalam surah an-Nur ayat 61, 
bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah hendaklah kamu memberi salam kepada sesiapa saja seperti kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik”. 

Menerusi ayat tersebut, tuntutan memberi salam itu merangkumi dua keadaan: 
i) Memberi salam ke atas ahli keluarga yang ada di dalam rumah pada ketika itu 
ii) Memberi salam ke atas dirinya sendiri walaupun jika tiada orang di dalam rumah tersebut.

Lafaz salam boleh diucapkan dengan memberi ucapan “ Assalamualaikum”
Ucapan salam yang lain ialah lafaz “Assalamu’alaina wa’ala ‘ibadillahissalihin” 
yang bermaksud, “Sejahteralah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh”. 

Sabda Rasulullah SAW, 
maksudnya: “As-Salam” itu ialah nama Allah yang diletakkan –Nya di bumi, sebarkanlah nama Allah itu antara kamu”. Hadis riwayat al-Bazzar dan at-Thabarani. 

Semasa mengucapkan salam kita menyebut nama Allah. Amalan memberi salam sebelum masuk kedalam rumah disifatkan sebagai mengingati allah. Ucapan salam akan menghindari diri daripada syaitan. 

Jabir r.a mendengar Nabi SAW bersabda 
maksudnya: “Apabila seorang lelaki masuk ke dalam rumahnya lalu dia mengingati Allah ketika hendak masuk dan ketika hendak makan, syaitan berkata (kepada pengikutnya): “Tidak ada tempat bermalam dan tiada makan malam bagi kamu”. Namun jika dia masuk rumah tanpa mengingati Allah, syaitan berkata: “Sudah ada tempat bermalam untuk kamu”. Dan jika seseorang itu makan tanpa mengingati Allah, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Antara kelebihan salam yang paling utama ialah menimbulkan rasa saying dan kemesraan. Perasaan tersebut menjadi asas pengerat hubungan sesame manusia. Kasih sayang menjadi penyebab turunya rahmat Allah. Berkat ucapan salam, ahli keluarga akan diliputi rahmat daripada Allah dan terhinda daripada gangguan syaitan. Keberkatan penghuni dipaparkan dengan hidup yang tenang, tenteram dan rukun damai. 

Kesimpulannya memberi salam bukan saja semasa ada ahli keluarga di dalam rumah malah dibolehkan jika tiada penghuni di dalam rumah. Semoga amalan sunah yang kecil ini, bakal dibalas dengan ganjaran yang besar disisi Allah SWT.

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Fadilat membaca bismillah

Membaca Bismillah setiap kali melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan sebenarnya memberi kebaikan yang sangat banyak. Allah sendiri memerintahkan para malaikat supaya mencatat pahala bagi umat manusia yang membaca Bismillah.

   Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, akan aman dariapda gangguan syaitan, kecurian, maut yang mendadak dan bala. Sementara pasangan yang membacanya ketika hendak berjimak, akan melahirkan anak yang soleh dan bagi ibu bapanya kebajikan sejumlah tarikan nafas anak itu.

   Membaca 41 kali Bismillah ke telingan orang yang pengsan, insya Allah dia akan segera sedar. Membaca 313 kali Bismillah serta 100 kali selawat ke atas Nabi SAW pada waktu pagi hari Ahad sewaktu matahari terbit dengan menghadap kiblat, insya Allah akan mendapat rezeki yang tidak terduga.

   Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang bebal, eloklah dibaca Bismillah sebanyak 786 kali, kemudian ditiupkan pada air lalu diberi minum anak itu selama tujuh hari pada saat matahari terbit, insya Allah lenyaplah kebebebalannya. Perkara yang sama juga dilakukan kepada adik-beradik, suami, isteri atau sesiapa yang dimaksudkan.

   Sesiapa yang membaca 50 kali Bismillah di hadapan orang orang zalim, akan tunduk dan takutlah orang zalim itu. Bagi perempuan yang hamil, tulislah 61 kali kalimah Bismillah hingga akhirnya dengan huruf Arab di atas kertas putih lalu sisipkannya ke perut wanita itu, insya Allah hidup anak yang dikandung itu.

   Mereka yang berniaga, bacalah 786 kali di hadapan dagangannya lalu dihembuskan selama tujuh hari. Insya Allah dengan izin Allah akan majulah perniagaannya.

Renung-renungkan dan selamat beramal :)

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Tuesday, March 8, 2011

Memaafkan Untuk Ke Syurga??

Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia.

Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi.

Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham.

Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.

Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."

Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.

Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.

Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.

Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."

Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."

Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.

Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

Terima kasih kerana sudi membaca =)

Sunday, March 6, 2011

Fenomena 'couple'

Berulang kali saya perhatikan dunia yang kini semakin huru-hara. Pelbagai fitnah, tohmahan, penindasan dan kawalan yang berlaku keatas umat Muhammad S.A.W. Saya sedih dengan keadaan syabab Islam yang kini semakin leka dengan dunia. Saya amat sedih. Bila Islam hanya diletakkan dan dizahirkan sebagai agama namun batin dan di dalam tidak begitu. Islam pada nama sahaja namun tidak pada hati.

Mudah untuk saya simpulkan sedikit dengan masalah remaja kini. Bermula dengan gejala couple yang entah dari mana datangnya. Gejala ini dilihat mudah oleh remaja-remaja dan pemuda-pemuda kini. Sedang ada yang berilmu agama sendiri mengiyakan gejala couple ini dan menyebabkan remaja-remaja kebanyakkannya memikirkan gejala ini dibolehkan dalam Islam. Ingin saya tegaskan disini, tiada langsung istilah couple di dalam Islam. Perlu kita sedar, Islam menyediakan method untuk ummatnya berkeluarga. Couple bukanlah satu jalan yang baik untuk kita. Malah gejala ini merupakan satu kunci untuk merosakkan ummat Islam kini. Saya boleh buktikan mengapa couple itu haram. Ini buktinya :

Daripada Ibnu 'Abbas r.a berkata : Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan seorang perempuan yang bukan Mahramnya."
(H.R Bukhari dan Muslim)

Daripada Jabir b Samurah berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi yang ketiganya. (H.R Ahmad & Tirmidzi)

Maka dengan peringatan dan pesanan Rasulullah di atas maka terbuktilah bahawa couple itu hukumnya HARAM. Namun, mereka yang berada di dalam permainan syaitan masih lagi mencari jalan untuk menyelamatkan diri. Kata mereka : "Apa yang haramnya ? Kami tak pernah jumpa malah kalau kami berjumpa pun, kami selalu bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran dan agama. Malah kami selalu membaca Al-Quran bersama-sama. Kami juga selalu memberi tazkirah sesama kami supaya kami tidak lupa pada Allah."

Jika berkenaan situasi diatas, ada beberapa jawapan yang popular pernah saya tanya pada golongan-golongan ilmuwan dan ustaz-ustaz serta yang pernah saya terbaca. Namun saya mempunyai jawapan yang kukuh mengapa ia tetap haram walaupun masih melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca Al-Quran dan Belajar.

Jawapannya mudah. Allah S.W.T berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud :

"Dan jangnlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji. Dan jalan yang buruk."

Dengan turunnya ayat diatas kepada Rasulullah, hal ini terbukti bahawacouple itu haram kerana ia mendekatkan kita kepada zina. Zina adalah satu perkara yang amat keji sepertimana Allah telah berfirman diatas. Sedang Allah telah meletakkan hukum pergaulan untuk lelaki dan perempuan didalam Al-Quran :

a) Batas pergaulan untuk lelaki :
"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (An-Nuur : 30)

b) Batas pergaulan untuk perempuan :
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. "
(An-Nuur : 31)


Allah telah menentukan apakah yang patut dilakukan oleh lelaki dan perempuan bagi memelihara kemaluannya yakni maruah dirinya daripada diceburi dan dicabuli. Ingin juga saya tekankan disini, ada segelintir pelajar yang duduk dengan perempuan untuk belajar dan untuk belajar. Kata mereka, "Kami nak belajar pon takkan tak boleh?". Ini adalah ayat untuk menyelematkan diri mereka. Tetapi ingatlah saudaraku, kamu selamat di dunia, namuntidak dihadapan Allah. Saya yakin, pada mulanya memang niat kamu ingin menimba ilmu, lagipun hanya perempuan atau lelaki itu sahaja yang bijak dan mahir dalam topik pelajaran itu. Percaya atau tidak dihati kamu akhirnya nanti dihasut syaitan Laknatullah untuk melakukan atau membayangkan pasangan kamu itu melakukan perkara-perkara yang bukan-bukan? Na'uzubillah Min zalik. Ingatlah saudaraku, syaitan itu sentiasa mencari jalan untuk merosakkan umat Islam. Dan antara sebab yang lain, apabila kamu belajar dengan seorang perempuan yang bukan muhrim, maka fitnah akan berlaku. Fitnah yang besar akan berlaku keatas dirimu sedang kamu niat hanya untuk belajar. Itulah hikmahnya Allah melarang kita untuk berdua-duaan lelaki dan perempuan bukan mahram.

Di dalam situasi study group pula. Ya, ada guru yang meletakkan study group dengan perempuan akan mendatangkan hasil yang baik kepada seorang lelaki. Lelaki akan terasa tercabar dengan perempuan. Tetapi sedarkah kamu wahai golongan pendidik bahawa kamu telah meletakkan anak muridmu sebagai 'kambing hitam' untuk mereka melakukan maksiat. Apakah kamu sudah lupa tugasmu sebagai pendidik ? Sepatutnya kamu sendiri yang perlu mendidik anak muridmu, bukan anak muridmu belajar dengan seorang pelajar yang lain yang bukan Mahramnya. Atau dengan lebih mudah, pada pandangan saya, perlukah lelaki dan perempuan study bersama (studygroup)? Tidakkah Allah telah menjadikan setiap manusia yang sama jantinanya dengan kepandaian dan kebijaksanaan masing-masing yang berlainan? Tidakkah ini akan mendekatkan mereka kepada zina ? fikirlah kamu wahai pendidik. Sesungguhnya Allah telah melantikmu sebagai pendorong mereka untuk berjaya. Ingatlah amanahmu. Dan pelajar pula, jika kamu hendak mencari Ilmu, maka kamu perlu mencarinya, bukan menunggu Ilmu datang bergolek kepadamu. Atau dengan lebih mudah, carilah gurumu untuk belajar, bukan guru mencarimu untuk mengajarmu.

Pesanan terakhir saya untuk tajuk kita pada hari ini, jangan jadikan sesuatu yang baik itu sebagai batu loncatan bagi dirimu untuk melakukan maksiat dan untuk kamu mendekati zina. Ilmu itu penting bagi kita sebagai seorang Muslim. Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah"
Jika kamu menjadikan ilmu itu sebagai 'kambing hitam' untuk kamu melakukan maksiat, maka ingatlah azab Tuhanmu yang amat-amat pedih. Jadilah kamu golongan yang menegakkan agama Allah (Islam). Yakinlah dengan janji Allah iaitu :

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad : 7)
Dengan itu saya akhiri artikel saya pada kali ini dengan Astaghfirullahal 'azim. Yang baik segala-galanya daripada Allah dan yang buruk hadirnya dari kelemahan diri saya sendiri. Assalamualaikum.


Terima kasih kerana sudi membaca =)

Wednesday, March 2, 2011

Cara Menghapuskan Al-Quran Lama

Saya percaya, kat rumah korang mesti ada al-Quran, mukadam ataupun buku yaasin yang lama-lama bukan? maksud saya, yang dah dimakan serangga dan tak boleh nak dibaca lagi.  Pernah dengar tak, macam mana caranya orang menghapuskan Al Quran lama nie tapi tak pasti yang mana betul?? 

Pusat Pelupusan Percetakan Saufi kendali usaha musnah al-Quran, buku teks, surah Yassin dan risalah mengandungi petikan ayat suci :

DIRIWAYATKAN, seorang sahabat menjumpai al-Quran, menyapukan wangian padanya dan menyimpan di tempat tinggi. Bagi sahabat itu, Allah janjikan syurga. Begitu juga Saidina Umar yang terjumpa keratan al-Quran lalu diambil dan diciumnya, Allah memberikan pahala. Inilah kebesaran untuk mereka yang menjaga serta mengagungkan kalimah Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya, Muhammad SAW, menjadi petunjuk kepada umat sekalian alam, tidak kira bagaimana cara dilakukan.


Malangnya, tidak ramai yang tahu cara tepat untuk melupuskan kita suci ini. Kejahilan ramai inilah yang turut mendorong sebuah syarikat tempatan iaitu penerbitan Al-Quran Mushaf Uthmani, Percetakan Saufi menawarkan khidmat pelupusan al-Quran menerusi Pusat Pelupusan Ayat Al-Quran Percetakan Saufi di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor.

Malah, pengalaman Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, menyaksikan sendiri naskhah al-Quran dilonggokkan bersama buku lain di pusat pengumpulan barangan kitar semula miliki bukan Islam, menjadi antara titik tolak kewujudan syarikat itu pada 2008.

“Terkejut dan sedih apabila melihat al-Quran dibiarkan bersepah di pusat kitar semula dan ini menyedarkan saya mungkin ramai tidak tahu bagaimana hendak melupuskan al-Quran. Orang dulu akan bakar tetapi timbul juga persoalan selepas dibakar nak buat macam mana pula?

Jika ditanam, perlu dipastikan tempat itu tidak di langkah atau abu hendaklah ditaburkan ke laut. Itu yang terlintas di hati saya untuk membantu mereka yang ingin melupuskan al-Quran terutama yang sudah lama dan koyak. “Selain itu, saya ingin pastikan keagungan ayat Allah dipelihara dan cara saya ialah menyediakan kemudahan mengumpul dan membakar al-Quran supaya umat Islam tidak lagi membiarkan ayat al-Quran begitu saja,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Rahmat, pihaknya sentiasa mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk memastikan al-Quran yang sudah buruk, tidak berkulit dan terkoyak tidak diaibkan dengan dibiarkan begitu saja.

Sebagai usaha menyelamatkan serta memelihara kesucian kalimah Allah, beliau dan keluarga memulakan usaha mengumpul al-Quran, buku teks, Yasin, risalah, akhbar mengandungi surah dan cebisan al-Quran. Hatta, kad jemputan kahwin yang ada kalimah Allah turut dikumpulkan.

Katanya, bahan terkumpul itu kini dibakar secara berkala menggunakan mesin insinerator dan abunya sama ada ditanam dalam telaga khas yang digali di kawasan pengumpulan dan pelupusan atau dihanyutkan di laut di Negeri Sembilan.

Mesin pembakar khas untuk tujuan melupuskan barangan bercetak ayat Al-Quran mengikut prosedur dan syariat Islam iaitu secara pembakaran selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992.

Rahmat berkata, Percetakan Saufi adalah syarikat percetakan yang telah diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal, mengganti dan mengambil Al-Quran lama bukan Mushaf Uthmani bagi tujuan pelupusan.

Syarikatnya juga mendapat kebenaran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran untuk membekal dan memulihara ayat suci di sekolah kebangsaan dan sekolah agama di seluruh negara. Syarikat itu turut mengumpul dan melupuskan Al-Quran lama yang disalah cetak dan tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran KDN terutama yang dicetak sebelum 1990, mengandungi perkataan salah dan jika dibaca membawa maksud salah serta mendatangkan dosa.

Rahmat berkata, selepas usaha Percetakan Saufi itu disiarkan Berita Harian pada Mac lalu, sambutan orang ramai untuk menghantar pelbagai barangan bercetak ayat al-Quran semakin hebat dan menggalakkan.
Melalui kesungguhan itu katanya, tempat pengumpulan al-Quran di Batu 10 Jalan Cheras, Kajang, semakin hari dipenuhi al-Quran dalam pelbagai rupa, buku teks, kertas kerja, malah plet mencetak juga turut dihantar untuk dilupuskan menggunakan bahan kimia.

“Kami bersedia menerima jumlah yang lebih banyak dan saya berbangga jika ada yang ingin mengikut jejak langkah Percetakan Saufi memberi khidmat sukarela ini. Ini usaha memelihara ayat suci al-Quran dan saya hanya memulakan dulu. “Jika ada pihak lain ingin membantu, itu lebih baik kerana permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meluas. Sudah ada permintaan supaya diadakan di wilayah selatan serta utara,” katanya yang sedang membangunkan mesin insinerator kedua bagi tujuan itu dan dijangka siap Disember ini.

Selain pengumpulan dan pelupusan al-Quran, Percetakan Saufi menganjurkan program Skim Al-Quran Wakaf Malaysia bagi menggalakkan umat Islam bersedekah melalui amalan wakaf untuk diedarkan kepada pihak memerlukan. Melalui skim wakaf itu, individu atau syarikat boleh menyumbangkan RM30 untuk naskah Al-Quran Mushaf Uthmani yang kemudian diedarkan ke masjid, surau, rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah dan maahad tahfiz. Mereka yang ingin menyertai Skim Al-Quran Wakaf Malaysia boleh menghubungi syarikat itu di nombor 03-26933049/03-26915184.

Usaha syarikat itu turut menarik minat tenaga pengajar di Masjidil Haram di Makkah, Dr Syeikh Md Idrees Al Mashrafe, yang menyifatkan ia harus disokong semua pihak terutama umat Islam negara ini.  Katanya, menjadi tanggungjawab umat Islam memastikan kesucian serta kesejahteraan al-Quran yang mengandungi kalam Allah itu sentiasa terpelihara dan jika sudah rosak, hendaklah dilupuskan mengikut tertib.

“Inisiatif Percetakan Saufi menghasilkan mesin insinerator khas untuk membakar al-Quran yang sudah tidak boleh digunakan atau tersalah cetak sewajarnya mendapat sokongan kerana usaha ini bukan mudah, apatah lagi ia dilakukan secara sukarela.

“Saya berharap kerajaan dan orang kaya membantu usaha ini kerana tanggungjawab umat Islam memelihara kesucian mukjizat Nabi Muhammad,” katanya yang mengunjungi pusat pelupusan berkenaan.


'Elak cebisan, abu al-Quran dipijak atau dilangkah'

PELUPUSAN ayat suci al-Quran perlu dilakukan dengan tertib dan setiap aspek diberi perhatian teliti termasuk memastikan abu daripada bahan bakar mengandungi kalimah Allah itu tidak berterbangan, bersepah, dipijak atau dilangkah.

Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, berkata proses pembakaran ayat suci al-Quran menggunakan mesin insinerator khas turut melalui peringkat percubaan dan penambahbaikan. Menurutnya, proses pembakaran al-Quran pada awalnya tidak berjaya kerana keadaan naskah al-Quran yang agak tebal.

Selepas itu katanya, timbul idea untuk mencarik al-Quran termasuk kulitnya yang tebal menggunakan mesin pencarik menjadi helaian kecil yang lebih ringan serta terurai supaya lebih mudah dibakar dan menjadi abu halus.

“Pada mula kami bakar naskah al-Quran terus tetapi memakan masa yang lama dan ada kalanya apabila selesai, ada yang masih tidak terbakar. Kemudian datang ilham untuk mengoyakkan helaian al-Quran terlebih dulu. Bagi memudahkan kerja, saya menghasilkan mesin pencarik yang boleh mengoyakkan kulit al-Quran serta kertas tebal menjadi helaian kecil. Kertas yang kecil lebih ringan, senang dibakar dan lebih mudah menjadi abu,” katanya.

Mesin pencarik kertas itu dihasilkan daripada ideanya sendiri kerana yang ada di pasaran tidak sesuai untuk mencarik kulit al-Quran yang tebal. Awalnya beliau membina mesin itu di Indonesia tetapi hasilnya tidak memuaskan dan yang digunakan kini dibina anak tempatan.

Proses pembakaran dimulakan dengan meracik al-Quran menjadi helaian kecil sebelum dimasukkan ke dalam raga dan dibawa ke mesin insinerator untuk dibakar. Mesin perlu dipanaskan menggunakan gas industri selama empat jam untuk mendapat suhu 600 darjah celsius.

Kertas seberat 300 kilogram dimasukkan pada satu-satu masa ke dalam insinerator melalui dua pintu iaitu pintu utama (berbentuk bulat) jika mesin masih belum panas dan pintu kedua (berbentuk empat segi tepat di bahagian sisi mesin) apabila haba semakin panas.

Kepanasan ruang bakar membolehkan 100 kilogram kertas dibakar dalam masa sepuluh minit dan kemudian abu dibiarkan selama empat jam untuk sejuk sebelum dimasukkan ke dalam bekas menyimpan abu.

Abu yang berterbangan semasa proses pembakaran akan ditangkap oleh mesin aliran air. Abu akan dimasukkan ke dalam plastik atau guni sebelum dihanyutkan ke laut. Pada waktu kecemasan seperti hujan lebat, abu akan dicampurkan dengan air supaya mudah larut sebelum dikebumikan menggunakan corong dalam telaga yang digali di kawasan pelupusan.

Mesin insinerator boleh membakar satu setengah tan kertas pada satu masa dan proses itu memakan masa antara empat hingga lima jam. Keseluruhan proses pembakaran memakan masa lapan hingga sembilan jam termasuk untuk menyejukkan abu.

Rahmat berkata, walaupun nampak mudah, proses pelupusan al-Quran melalui pembakaran itu perlu dilakukan dengan berhati hati kerana tidak ada sehelai kertas tercetak ayat al-Quran atau abu boleh dibiarkan bersepah.


Katanya, pihaknya turut mengupah pekerja untuk mengasingkan kulit tebal dan kertas yang memakan masa serta tenaga kerja, begitu juga untuk mengendalikan mesin meracik bagi memudahkan pembakaran.

Proses pembakaran dilakukan dua kali seminggu atau mengikut keperluan terutama apabila kertas yang sudah diracik semakin banyak.

Sekian, Bertambahlah pengetahuan aku untuk hari ini..


Terima kasih kerana sudi membaca =)